Enter Keyword

Bahaya Produk Pemutih Wajah Kepada Ibu Hamil

Semua wanita di atas muka bumi ini sangat obses dengan cantik. Daripada anak dara hinggalah ke nenek dara mesti paling tidak pun mengamalkan sekurang-kurangnya satu petua untuk nampak cantik.

Cantik mempunyai definisi yang sangat subjektif. Tetapi ramai orang menganggap bahawa wanita yang berkulit putih berseri itu adalah cantik. Maka keluarlah pelbagai produk kecantikan pemutih wajah dari kilang untuk memutihkan kulit para wanita.

Adakah salah ingin memutihkan kulit gelap kusam ni?? Tak, tidak salah sama sekali. Itu hak individu yang orang lain tak boleh pertikaikan. Terpulanglah kepada wanita tu nak cantik putih sampai pucat atau nipis kulit wajah sekalipun itu hak dia.


Dulu, produk pemutih wajah ni susah nak jumpa. Harganya pun mungkin agak mahal. Sekarang boleh dapat di mana-mana malah harganya bukan saja berpatutan malah murah tak masuk akal. Kualitinya??? Kriik kriikk..

Sebenarnya dengan harga yang murah, kualiti produk itu bolehlah dikatakan 'murahan' juga! Harga murah dan kualiti yang tidak begitu baik pasti mendatangkan kesan negatif kepada si pemakainya. Apalagi jika produk itu menjanjikan putih dalam masa yang amat singkat! Dua minggu, seminggu, sehari atau seminit sapu pun boleh putih?? Tidakkah ini sangat berbahaya??

Percaya tak, ibu-ibu hamil juga tak terlepas daripada persaingan untuk nampak cantik dan putih ni. Dan lagi mengerikan mereka tidak teragak-agak untuk memakai produk pemutih yang tidak pasti asal-usulnya.

Semasa saya mengandung dulu, usahkan pakai produk pemutih, pencuci muka pun saya hentikan pemakaiannya gara-gara terbaca artikel 'ubat jerawat tidak sesuai untuk ibu hamil'. Apabila saya kelebet-kelebet kandungan bahan pada pencuci murah saya itu, saya temui pelbagai bahan yang amat bahaya bukan saja kepada saya malah kepada bayi dalam kandungan. Syukurlah sekarang saya dah jumpa pencuci yang selamat dan boleh digunakan semasa hamil pun.

Berbalik kepada produk pemutih kita tadi, ada beberapa bahan berbahaya yang memberi kesan negatif bukan saja kepada ibu malah bayi dalam perut turut merasa kesannya.

1. Merkuri

Merkuri ialah sejenis logam yang boleh merosakkan bahagian tubuh manusia termasuk peparu, buah pinggang, sistem saraf malah boleh menyebabkan masalah pendengaran dan penglihatan. tahap keseriusan bergantung kepada sebanyak mana kita telah terdedah kepadanya. Merkuri boleh menyebabkan kerosakan otak, telinga dan mata pada bayi.

2. Hidrokuinon

Hidrokuinon ialah sebatian organik beraroma yang bertindak sebagai agen peluntur (bleaching) yang biasa di gunakan dalam sabun basuh kain, pencuci detergent dan produk cucian. Produk yang mengandungi hidrokuinon biasanya boleh menyebabkan seseorang itu mempunyai wajah dengan efek putih kemerahan seperti terbakar. Produk yang mengandungi hidrokuinon tidak sesuai digunakan untuk jangka masa lama.

3. Retinoid

Boleh menyebabkan FRS (Fetal Retinoid Syndrome) dimana janin akan mengalami masalah kecacatan mental dan fizikal. Retinoid sering digunakan dalam krim untuk merawat jerawat.

Memang tidak ada salahnya untuk ibu kelihatan cantik semasa hamil. Tetapi jika kecantikan ibu hanya mengundang padah kepada anak dalam kandungan, apalah gunanya.

Di bawah ini beberapa tips saya nak kongsikan untuk ibu supaya masih lagi boleh cantik walaupun ketika hamil tanpa merisikokan nyawa sendiri dan bayi.

1. Elakkan menggunakan sebarang produk yang mengandungi bahan berbahaya di atas. Ini agak sukar kerana kebanyakan pengilang sering menyembunyikan bahan dengan 'menipu label'. Walaupun ada cop KKM, ia tak semestinya selamat kerana ada pengilang yang menghantar sampel selamat ke KKM, tetapi yang dijualnya lain.

2. Gunakan bahan semulajadi sebagai masker, itupun setelah kandungan berusia 4 bulan.

3. Pakai sunblock yang selamat agar kulit tidak gelap walaupun ibu berada di bawah cahaya matahari terik yang agak lama.

4. Bertanyalah kepada doktor mengenai alat kosmetik anda. Ini kerana bukan saja produk penjagaan wajah, krim atau pencuci malah produk kosmetik seperti lipstik, bedak, alat make-up juga mengandungi bahan kimia yang tidak kita ketahui kandungannya.

5. Makan vitamin semulajadi yang sesuai semasa hamil. Contohnya Vitamin C bukan saja sangat bagus untuk pengaliran darah yang lancar, malah ia bertindak sebagai peransang kolagen semulajadi.

Kulit wajah yang cantik, putih dan berseri memang menjadi idaman setiap wanita, namun kesihatan dan keselamatan diri jauh lebih penting. Ambil langkah berhati-hati setiap masa, buat kajian dan penyelidikan sedikit sebelum anda menggunakan apa-apa produk pemutih wajah.

Apapun, saya doakan anda ibu hamil sentiasa sihat dan selamat sehingga melahirkan.

Salam ceria!

~Suhaila Budin~
012-9645614
ID:868994



1 ulasan:

  1. Nice info... Mmg tak suka sangat pakai krim wktu mengandung..

    BalasPadam