Enter Keyword

5 Ketakutan Ibu Mengandung Anak Kedua

Apabila diberitakan mengandung anak kedua, sama ada dirancang mahu pun tidak, sedikit sebanyak perasaan takut mula muncul dalam hati ibu.

Kalau anak pertama dulu, pasangan suami isteri memang seronok dan teruja, maklumlah bakal bertambah ahli keluarga. Daripada berdua, bakal jadi bertiga. Hidup pun mungkin berubah 360 darjah.

Tapi perasaannya lain apabila mengandung bayi kedua. Ibu lebih takut dan risau. Lagipun ibu dah berpengalaman mengandung dan bersalin yang pertama. Selalunya ibu akan rasa 'serik'. Mungkin pelik bunyinya. Tapi saya sendiri mengakui lebih ketakutan apabila mula mengandungkan anak kedua kami dulu.


Jom tengok apa ketakutan dan kerisauan yang ibu hadapi semasa mengandung kali ini.

1. Takut tidak dapat menyayangi anak kedua seperti anak pertama

Apabila anak yang pertama lahir, ibu akan mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada anak itu. Anak akan di tatang bagai minyak yang penuh. Semua kemahuannya dituruti. Semua yang terbaik untuk anak pertama kita itu.

Jadi, ibu mula risau bagaimana ingin membahagi kasih sayangnya dengan anak kedua pula? Mampukah ibu menyayanginya seperti anak pertama?

Sebenarnya ibu mampu menyayangi setiap anak sama rata. Ikatan antara ibu dan anak kedua bakal terbentuk secara semulajadi. Ibu haruslah buka hati untuk menerima kehadiran orang ke-empat dalam keluarga.

Cara yang lebih proaktif, banyakkan membaca, ambil tahu mengenai kandungan (selalunya mengandung anak kedua ibu dah mula sambil lewa), selalu mengusap bayi dalam kandungan, dan selalu bercakap-cakap dengannya supaya kalian berdua sentiasa 'feel connected'.

2. Takut dengan proses kelahiran yang bakal dilalui

Rata-rata ibu yang pernah melahirkan anak pertama akan takut untuk menghadapi kelahiran kali kedua.

Pengalaman pertama ibu yang selalunya 'mengerikan' buatkan ibu serik nak bersalin lagi. Saya sendiri melalui hampir 24 jam menanggung kesakitan melahirkan anak pertama. Jadi apabila nak bersalin anak kedua, perasaan terlalu takut hingga saya menangis apabila jururawat mula menolak masuk kedalam dewan bersalin.

Ketahuilah ibu, proses melahirkan anak kedua saya jauh lebih mudah berbanding anak pertama (walaupun sakit kontraksi masih serupa). Ini kerana sudah ada laluan / bukaan berbanding yang pertama dulu.

Para suami amat memainkan peranan waktu ini untuk cuba menghilangkan ketakutan dan menenangkan emosi isteri. Selalu berada di samping isteri dan beri kata-kata semangat yang diharapkan.

3. Takut tidak dapat menyusukan dengan susu ibu

Apapun pengalaman menyusukan anak pertama, ia tidaklah sama dengan anak kedua kerana tidak ada dua bayi yang serupa walaupun ia lahir dari rahim yang sama.

Jika ada masalah dalam penyusuan, mintalah nasihat doktor, jururawat atau pakar menyusu.

4. Takut meninggalkan anak pertama bila hendak bersalin

Perasaan ini sangat normal bagi semua ibu. Lagi-lagi ibu tidak pernah meninggalkan anak terlalu lama. Ibu boleh jadi terlalu rindu pada anak pertama, fikirkan dirinya dirumah walaupun ibu sendiri sedang bertarung nyawa di bilik bersalin.
(Oh sebak rasa hati menulis ayat ini)

Oleh itu wahai ibu, 'be prepared'! Luangkan masa dengan anak pertama, ceritakan kebarangkalian ibu dan ayah bakal meninggalkannya untuk seketika untuk melahirkan adik baru. Minta tolong ahli keluarga, kawan-kawan atau jiran untuk menjaga sebentar anak kita. Jangan terlalu menekan emosi sendiri. InsyaAllah anak akan baik-baik saja dalam jagaan orang yang kita percaya.

5. Takut tidak dapat melalui kehidupan dengan dua orang anak

Apabila ibu sudah melahirkan, automatik ibu akan tahu bagaimana nak mengatasi cabaran yang berlaku. Biasanya waktu ini anak pertama mula 'buat perangai' sebagai tanda dia mula iri hati dengan kasih sayang ibu terhadap adiknya.

Ibu dan ayah mesti kreatif, ambil peranan yang proaktif supaya anak pertama tidak terasa tersisih. Semasa anak kedua tidur, luangkan masa dengan anak pertama dengan bermain, bercakap, memeluk dan menciumnya sama seperti dulu.

Seeloknya ibu dan ayah mulakan dari awal iaitu sejak dalam kehamilan lagi. Buatkan dia rasa seronok, teruja dan tak sabar untuk bermain dengan si kecil baru dalam keluarga.

Ibu sebenarnya sangat kuat dan tabah! Padamkan semua ketakutan yang ada. Jika ibu lain boleh kita juga boleh!

Bergembiralah menanti kehadiran permata syurga kedua dalam keluarga anda...

*******

Dapatkan Set Bersalin Premium yang berzat, dan bakal buat ibu jadi lebih sihat, bertenaga, ceria, cantik, berseri dan positif sepanjang tempoh berpantang. Hubungi:

-Puan Suhaila-




Tiada ulasan:

Catat Ulasan